Editorial Note
Abstract
Jurnal Kemanusiaan keluaran kali ini memuatkan hasil penulisan dan kajian dalam pelbagai sub-bidang sosial sains dan kemanusiaan. Artikel yang ditulis oleh Abd Rahman Abd Ghani dan Azmil Hashim melaporkan kajian persepsi guru tahfiz al-Quran terhadap kemudahan infrastruktur institusi tahfiz persendirian di negeri Selangor. Azarudin Awang et al. pula membincangkan isu berkaitan kesepaduan budaya Melayu dalam komuniti Cina Muslim berdasarkan soal-selidik yang telah dijalankan terhadap komuniti Cina Muslim di Terengganu. Manakala Syamsul Azizul Marinsah dan Mohd Anuar Ramli pula mengupas tentang budaya masyarakat Bajau di Semporna, Sabah dengan menggunakan kaedah sosiologi hukum Islam, gabungan antara kaedah usul al-Fiqh dan kaedah ilmu sains sosial.
Dalam bidang kaunseling dan pendidikan, Mastura Mahfar et al. mengaplikasi Model Cramer untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar-pelajar untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling di universiti. Manakala di dalam bidang pengurusan sumber manusia, Nurul Ain Abu Hasan et al. melaporkan hasil kajian tentang kepuasan bekerja di kalangan pekerja di salah sebuah bank awam di Malaysia.
Kebanyakan artikel di dalam keluaran kali ini melaporkan hasil kajian empirikal yang telah dilaksanakan oleh para penyelidik dalam bidang berkaitan. Artikel yang dihasilkan oleh Najwa Ghafar dan Norhalimah Idris walau bagaimanapun, telah membincangkan dengan kritis kaedah etnografi pasca-moden berdasarkan pengalaman menggunapakai kaedah tersebut dalam kajian berkaitan keseimbangan kerjaya-keluarga di kalangan ibu-ibu yang bekerja di negara Oman.
Terdapat kepelbagaian dalam terbitan kali ini. Hasil penulisan ilmiah yang dimuatkan dalam keluaran kali ini diharap dapat dijadikan panduan kepada pengkaji akademik, pengamal-pengamal dan pembuat dasar dalam bidang-bidang yang berkaitan.